Gambaran laluan 523 (bas KR Travel & Tours)

Bas laluan 523 (KR Travel and Tours) KL1565 Hab Lebuh Pudu (LP) di Kuala Lumpur

Putrajaya Sentral

Untuk ke arah Putrajaya Sentral, titik mula terletak di Hab Lebuh Pudu, Kuala Lumpur bersebelahan Mydin Sinar Kota (kod hentian bas - KL1565) dengan menyediakan pertukaran ke LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling melalui Stesen LRT Masjid Jamek (200m jalan kaki) dan rangkaian bas henti-henti daripada Selangor Bus (laluan 100, 103, 104, 107 dan 120), MARA Liner (laluan 150 dan 152) dan Rapid KL (laluan 151, 400, 450, 580, 590).

Perkhidmatan bas 523 arah Putrajaya Sentral akan melalui Jalan Tun Sambanthan dimana bas akan mengambil penumpang di Kota Raya dan Pasar Seni (pertukaran ke LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang) dan TM Brickfields terlebih dahulu sebelum menuju ke hentian KTM Serdang melalui Jalan Istana, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (dari selepas tol Terowong SMART sehingga Persimpangan Bukit Jalil) dan Lebuhraya Sungai Besi. Di Lebuhraya Sungai Besi, bas 523 akan berkhidmat di hentian bas bertentangan dengan KTM Serdang (pertukaran ke KTM Komuter Laluan Batu Caves-Pulau Sebang) dan Flat Desa Serdang sebelum menuju ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan arah barat.

Dari Lebuhraya Lembah Klang Selatan, bas 523 akan memasuki ke Terminal Bas IOI City Mall terlebih dahulu (laluan 523 merupakan satu-satunya laluan bas di Lembah Klang yang menghubungkan ke IOI City Mall) sebelum berpatah balik ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan menuju ke Putrajaya melalui Persimpangan Putra, Persiaran Utara dan Persiaran Timur. Laluan bas 523 hanya memasuki kawasan Hospital Serdang di Jalan Kajang-Puchong (FT 345) jika terdapat permintaan dari penumpang sebelumnya.

Di Putrajaya, bas 523 melalui ke hentian bas Alamanda dan berpatah balik ke Lebuh Perdana Timur menuju ke Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan 4 hentian bas (Parcel E, Dataran Pahlawan Negara, Parcel D). Bas 523 seterusnya masuk ke jalan kecil menuju ke Dataran Putra dan Masjid Putra dan melintasi Jambatan Putra menuju ke Persiaran Perdana. Laluan bas 523 menyediakan 10 hentian bas berkhidmat dengan kompleks-kompleks kerajaan, Istana Kehakiman dan Perbadanan Putrajaya sekitar Persiaran Perdana. Bas seterusnya akan belok kanan ke Lebuh Sentosa, melintasi Jambatan Seri Saujana, memasuki persimpangan Lebuh Perdana Barat dan membelok kiri ke Presint 9. Bas akan membelok kanan ke Jalan P9 berhampiran SK Putrajaya Presint 9(1) dan menuju ke titik tamat iaitu di Hab Bas Putrajaya Sentral berseblahan dengan Balai Bomba Presint 7. Laluan bas 523 bakal tamat di hab bas MRT Putrajaya Sentral.

Hab Lebuh Pudu

Untuk ke arah Hab Lebuh Pudu, titik mula terletak di Hab Bas MRT Putrajaya Sentral (kod hentian bas - PPJ254) dengan menyediakan pertukaran ke MRT Laluan Putrajaya dan rangkaian bas Rapid KL laluan 451, 506, T508, T509, T510, T511 dan T512. Sebelum pembukaan MRT Laluan Putrajaya (PYL) titik mula asal laluan 523 ke arah Hab Lebuh Pudu adalah di Putrajaya Sentral (kod hentian bas - PPJ373).

Perkhidmatan bas 523 arah Hab Lebuh Pudu dimulakan dengan melalui Jalan P9 di Presint 9 dan membelok kiri ke Jalan P9B dengan melewati Pangsapuri Putra Harmoni dan Perumahan Rajawali di Presint 9. Selepas melalui hentian bas sebelah SK Putrajaya Presint 9(1), bas membelok kanan ke Lebuh Sentosa, melintasi Jambatan Seri Saujana dan membelok kiri ke Persiaran Perdana. Laluan bas 523 menyediakan 9 hentian bas berkhidmat dengan kompleks-kompleks kerajaan, Istana Kehakiman dan Perbadanan Putrajaya sekitar Persiaran Perdana, diikuti dengan Masjid Putra dan Dataran Putra selepas melintasi Jambatan Putra. Kemudian bas 523 masuk ke jalan kecil menuju ke Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, berkeliling dari Taman Botani Putrajaya dan Taman Putra Perdana sebelum membelok kiri ke Lebuh Perdana Timur berhampiran Kompleks Kerajaan Parcel F. Bas 523 seterusnya membelok kanan ke Jalan Alamanda untuk ke Alamanda sebelum keluar dari Putrajaya melalui Persiaran Timur dan Persiaran Utara.

Dari Persiaran Utara, bas membelok kiri ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan dan memasuki Terminal Bas IOI City Mall sebelum kembali ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan menuju ke KTM Serdang. Laluan bas 523 hanya memasuki kawasan Hospital Serdang di Jalan Kajang-Puchong (FT 345) jika terdapat permintaan dari penumpang sebelumnya.

Dari Lebuhraya Lembah Klang Selatan, bas memasuki persimpangan pertama dari Persimpangan Uniten menuju ke Lebuhraya Sungai Besi dimana hentian bas Flat Desa Serdang dan KTM Serdang berkhidmat (pertukaran ke KTM Komuter Laluan Batu Caves-Pulau Sebang). Bas akan terus menuju ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Sungai Besi sehingga Persimpangan Salak Selatan (Utara) dimana bas akan menuju ke Jalan Istana; kemudian bas membelok kiri ke Jalan Tun Sambanthan dan seterusnya membelok kanan dimana bas menuju ke hentian bas Pasar Seni (pertukaran ke LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang) dan Kota Raya sebelum menamatkan perkhidmatan ke titik tamat iaitu di Hab Lebuh Pudu. Laluan bas 523 bakal tamat di Hab Lebuh Pudu.